Jumaat, 25 November 2016

*PINDAAN USUL RUU 355 oleh YB MARANG DI DEWAN RAKYAT 24 NOVEMBER 2016*

Oleh
YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

1. Dalam sidang Dewan Rakyat pada hari ini YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan pindaan terhadap Usul RUU 355 yang telah dibentangkan sebelum ini pada sidang Dewan Rakyat yang lalu pada 26 Mei 2016.

2. Pindaan Usul dibuat bagi menjelaskan lagi maksud Usul RUU 355 lalu yang teksnya menyebut:

_"Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan *hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah* yang berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati."_

3. Pindaan Usul pada hari ini bertujuan menjelaskan lagi maksud *"hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah"* dalam Usul sebelum ini iaitu antaranya merujuk kepada sebatan syarie sehingga 100 sebatan.

4. Pindaan Usul berbunyi:

_“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 seperti berikut:_

Pindaan seksyen 2

Akta Mahkamah Syariah (BidangKuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali”* dengan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah”*.


5. Cadangan pindaan Usul ini akan membolehkan *3 kesalahan jenayah Islam* dilaksanakan menurut *undang-undang Syariah* iaitu *sebatan syarie* di Mahkamah Syariah menurut kadar hukuman sebatan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis.

6. Tiga kesalahan jenayah itu ialah:

I) *Persetubuhan luar nikah* bagi yang belum pernah berkahwin yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 100 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah.

II) *Qazaf atau membuat tuduhan melakukan zina* yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 80 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah.

III) *Minum minuman memabukkan* yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 40 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah sehingga 80 sebatan sebagaimana perbezaan pendapat di kalangan mazhab Islam.

7. Ketiga-tiga kesalahan jenayah di atas sekarang terikat dengan Akta 355 yang menetapkan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

8. Ketiga-tiga kesalahan jenayah tersebut juga adalah sebahagian daripada senarai jenayah syariah menurut enakmen-enakmen negeri.

9. Berikut adalah contoh *Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995* yang menyenaraikan kesalahan jenayah berikut:

_Pemujaan salah, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir, doktrin palsu, dakwaan palsu, mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith, menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar tanpa tauliah, mengingkari perintah Mahkamah, penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara', berjudi, *minuman Yang memabukkan*, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah,  perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, *persetubuhan luar nikah*, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, *Qazaf*, Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa dan penyalahgunaan tanda halal.*

http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/bca11b8ae3c9251148257057000ca118?OpenDocument

10. Kesalahan jenayah yang hampir sama boleh dilihat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri lain sebagaimana pautan berikut:

a) Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/d31866f9fa58ec974825708200081476?OpenDocument

b) Enakmen Jenayah Syariah 1992 negeri Perak.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/c8e52d59dd5bcce8482572ad002dc463?OpenDocument

c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 negeri Johor.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/558765627a0ec10a4825703d00269024?OpenDocument

d) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 negeri Pahang.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Ori.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/b6e491ad5904795348257d3a000e79f4?OpenDocument

e) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 negeri Kedah.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/39c338971e630abc4825736b00077c39?OpenDocument

f) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 negeri Perlis
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/88d4ced7db9d4ea14825752b002fc32c?OpenDocument

g) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 negeri Pulau Pinang.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/b33aec4d2a4765ee482570d60024be96?OpenDocument

h) Enakmen Kesalahan Syariah 1991 negeri Melaka.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/f479bad5b5785c514825707d000cc065?OpenDocument

11. Untuk rekod, Akta 355 merupakan undang-undang atau Akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1965 bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

12. Oleh kerana Mahkamah Syariah tidak melibatkan bukan Islam, maka RUU 355 juga tidak melibatkan bukan Islam dan hanya melibatkan orang Islam yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

13. RUU 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah mencuri dan merompak kerana kedua-duanya adalah jenayah yang disenaraikan di bawah kuasa kerajaan Persekutuan dengan pelaksanaannnya di Mahkamah Sivil dan bukannya di Mahkamah Syariah.

14. RUU 355 juga adalah selaras dengan perlembagaan kerana Akta 355 sebelum ini yang sudah dipakai sejak 1965 seterusnya dipinda 1984 disemak pada 1988 adalah Akta yang selaras dengan perlembagaan. Cadangan pindaan kali ini hanyalah melibatkan perubahan pada kadar hukuman.

15. Malaysia sememangnya mengamalkan dua bentuk perundangan iaitu perundangan peringkat persekutuan di Mahkamah Sivil dan perundangan peringkat negeri melibatkan agama di Mahkamah Syariah. Justeru, tidak timbul persoalan bahawa RUU 355 akan mewujudkan dua sistem perundangan di negara ini.

16. Perbahasan lanjut bagi RUU 355 akan berlansung di Dewan Rakyat akan datang. Pindaan pada Usul asal RUU 355 yang dikemukakan kali ini dalam sidang hari ini akan membuka ruang untuk masyarakat khususnya ahli-ahli Parlimen untuk lebih mendalami dan memahami cadangan pindaan Akta 355 ini sebelum dibahaskan nanti.

17. Akhirnya, perlu diambil perhatian bahawa Kerajaan Persekutuan sebagai kerajaan yang berkuasa pada hari ini akan dipertanggungjawabkan untuk membawa pindaan Akta 355 ini setelah RUU Ahli Persendirian YB Marang diusul, dibahas dan diluluskan nanti di Dewan Rakyat. Hal ini kerana ia menjadi prasyarat
menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk sebarang Rang Undang-undang Ahli Persendirian menjadi sebahagian undang-undang bagi negara.

18. Semoga kejayaan usaha ini akan memartabatkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah dalam negara ini.

Sekian. Terima kasih.

Khamis 24 hb November 2016

Khamis, 17 November 2016

Assalamualaikum perlukan kesabaran didalam berdakwah. Dah jadi kebiasaan bagi penutut ilmu didalam sesuatu perbincangan..org beriman berhujah akhir sekali akan mendapat kata sepakat didalam sesuatu perkara.Abg Ariff harap kita sama2 faham..kerana kita bukan lah bergaduh atau bertikam lidah tapi cari jln kesefahaman demi islam bila dah terasa pergi jauh. kita sama2 ingatkan diri masih2..Hati berkata aku berjuang serta berdakwah demi kerana Allah..

Daripada Sulaiman bin Sard RA katanya, Pada suatu hari aku duduk bersama2 Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya. Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.Perasaan marah yg disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Firman Allah yg bermaksud : Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-A.raf: 200)

Isnin, 10 Oktober 2016

Assalamualaikum sedikit renungan bersama Abg Ariff serta semua sahabat2 yang dirahmati Allah insya Allah.
Drpd Zaid bin Arqam RA bahawa ia telah melihat sekumpulan orang ramai melakukan sembahyang sunat Dhuha. Lalu ia berkata : Apakah mereka ini tidak mengetahui bahawa sembahyang Dhuha diwaktu lain adalah lebih utama, sesungguhnya Rasulullah SAW ada bersabda, sembahyang orang2 yang bertaubat itu ialah ketika anak2 unta yang tidur berasa panas dengan cahaya matahari (panas terik yang bersangatan). Riwayat:  Muslim

Umat Islam perlu bersungguh2 melakukan ketaatan terhadap perintah2 Allah.

Amal ibadat yang dilaksanakan dengan kesungguhan dan keikhlasan akan membentuk jati diri muslim yang sejati.

Sembahyang sunat Dhuha boleh dilakukan ketika naiknya matahari sehinggalah condongnya, tetapi afdhal sekiranya dilakukan ketika matahari betul2 naik dan bersangatan panas.

Hikmah disunatkan sembahyang Dhuha ketika matahari bersangatan panas, ialah untuk mengelakkan waktu yang diharamkan sembahyang, seperti terbitnya matahari.

Isnin, 19 September 2016

Assalamualaikum sedikit renungan insya Allah.Riwayat:  Ali RA  
Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ' Awaslah! Sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar'. Aku bertanya: ' Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?' Baginda menjawab: ' (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat2 yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara2 yang akan datang sesudah kamu, serta hukum2 mengenai apa yang berlaku di antara kamu;

(kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok2; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Qur'an ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah2nya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata2 makhluk; dan alim ulama' pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang2; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: 'Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur'an yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya.' (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum2nya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran2nya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus.

Ahad, 18 September 2016

HUKUM KANAK-KANAK DALAM SAF DEWASA !

Saf kanak-kanak

Seringkali kita perhatikan di kebanyakkan masjid atau surau kedudukan saf kanak-kanak semasa solat berjemaah diasingkan daripada saf orang-orang dewasa. Fenomena ini merupakan fenomena biasa yang telah berlaku di negara kita Malaysia secara khusus semenjak dari dahulu lagi. Tidak dinafikan bahawa pendapat yang menyatakan saf kanak-kanak perlu diasingkan daripada saf dewasa juga sebahagian daripada ijtihad ulama berdasarkan beberapa dalil yang akan dibincangkan.

Satu perkara yang penting untuk diingatkan bahawa pendapat ijtihad para ulama terdedah kepada kesalahan, walaupun demikian mujtahid yang berijtihad tetapi ijtihadnya tidak tepat baginya satu pahala sementara bagi ijtihad yang betul dua pahala, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Amr bin al-‘As r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إذَا حَكَمَ الحَاكِمُ فَاجتَهدَ ثُمَّ أصَابَ فَلَهُ أجْرَان، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهدَ ثُمَّ أخْطَأَ فَلَهُ أجْرٌ.
Maksudnya:
“Apabila seorang hakim berijtihad kemudian ijtihadnya betul, dia mendapat dua pahala. Apabila dia berijtihad tetapi salah, dia tetap mendapat satu pahala.”
Bagi mereka yang telah mengetahui bahawa sesuatu pendapat itu tidak tepat, maka kewajipannya berpegang kepada pendapat yang berdasarkan dalil yang tepat dan tinggalkan pendapat yang tidak kuat.
1- Galakan membawa anak ke masjid

Membawa anak-anak ke masjid ialah suatu perbuatan yang amat digalakkan, ini kerana dengan melaziminya akan membiasakan mereka untuk bersolat di masjid. Adalah menjadi tanggungjawab serta perhatian kepada setiap ibubapa atau penjaga, apabila anak-anak mereka mencapai usia tujuh tahun untuk disuruh melakukan solat dan melazimi mereka ke masjid. pukullah mereka setelah mencapai sepuluh tahun sekiranya mereka tidak melakukan solat.

Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

مُرُوا أَوْلاَدَكُم بِالصَّلاَةِ وَهُم أبنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوهُم عَلَيها وَهُم أبنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ.

Maksudnya:
Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.
Inilah tarbiyyah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu di dalam Islam. Disamping menyuruh mereka bersolat dan memukulnya sekiranya mereka meninggalkannya, ibubapa juga perlu memberi perhatian dalam memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.
Maksudnya:
Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.

Daripada hadis ini beberapa pelajaran yang boleh diperolehi:
§  Perbuatan Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
§  Faedah lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal. Pendapat ini batil sama sekali.
§  Pergerakan yang lebih dari tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan Nabi s.a.w meletak dan mengangkat cucunya ketika solat sudah pasti melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ianya tidak membatalkan solat baginda s.a.w.
Kesimpulannya sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas maka tidak dihalang membawa anak-anak ke masjid bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang dari umur tujuh tahun atau yang belum mumaiyiz maka ia tidak digalakkan kecuali sekiranya boleh dikawal dari mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. Juga sekiranya ada hajat yang mendesak, contohnya tiada sesiapa yang boleh menjaganya di rumah dan sebagainya. Ini antara yang dinyatakan oleh Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Saudi juga pendapat yang dikemukan oleh Syeikh Soleh al-Fauzan.
Adapun hadis yang diguna oleh sebahagian pihak yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid merupakan hadis yang dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah iaitu:
Hadisnya berbunyi:جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban(hadis dhoif).
2- Saf kanak-kanak
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.h. beliau berkata:أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا
Maksudnya:
Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, Aku (Anas) dan seorang yatim mengikutnya bersolat dibelakangnya dan Ummu Sulaim dibelakang kami.
Ibn Abbas r.h. berkata:

تُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يُصَلِّيبِ مِنَ اللَيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِيْنِهِ.
Maksudnya:
Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi s.a.w. bersolat. Maka akupun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi s.a.w. memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya. Hadis riwayat al-Bukhari.
Kedua-dua hadis di atas dalil menunjukkan kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solatnya. Hadis yang pertama Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w. maka sudah tentu anak yatim tersebut seorang yang belum baligh, sekiranya sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Semetara hadis yang kedua Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat disebelah Nabi s.a.w.
Jelaslah bahawa tiada saf yang khusus dijadikan untuk kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh sebahagian masjid. kanak-kanak boleh dimasukkan sekali ke dalam saf orang dewasa.
Di dalam kitab-kitab feqah dinyatakan susunan saf ketika solat berjemaah seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya “al-Mufassal” jilid 1, hal. 244-245, hendaklah saf dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab hanbali, seperti yang dinyatakan di dalam kitab “al-Mughni” jilid 2 hal. 429.
Dikalangan ulama’-ulama’ syafieyyah juga berpendapat sedemikian. Tetapi saya melihat walupun mereka berkata demikian iaitu susunan saf seperti yang dinyatakan “dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan” namun mereka tidak mengkhususkan satu saf untuk kanak-kanak sehingga mereka langsung tidak boleh bersolat satu saf dengan orang dewasa. Ini dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj, jilid 1, hal. 492:

وَإِنَّمَا تُؤَخِّرُ الصِّبْيَان عَنْ الرِّجَالِ كمَا قالَ الأذْرَعِي إذَا لَمْ يَسعَهُم صَفَّ الرِّجَال وإلا كَمَلَ بِهِمْ.

Maksudnya:
Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.
Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini ini. sekiranya saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikuhususkan kepada kanak-kanak. Wallahu a’lam.
3- Mengkhususkan saf untuk kanak-kanak
1- Antara dalil yang digunakan oleh mereka yang mengkhususkan saf bagi kanak-kanak sehingga menjadikan saf kanak-kanak jauh di belakang masjid ialah hadis yang diriwayatkan Muslim:

لِيَلِنِي مِنْكُم أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُم، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya:
Hendaklah mereka yang berada dibelakangku ahli ahlam (baligh) dan Nuha (beraqal), kemudian seterusnya dan seterusnya…(juga maksud ulil ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap)
Syeikh Soleh Ibn Utsaimin menjawab: dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Ia juga bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w.

مَنْ سَبَقَ إِلَى مَا لَمْ يَسْبِقُهُ إِلَيْهِ أَحَدٌ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
Maksudnya: sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.
Hadis yang diriwayatkan Muslim di atas membawa maksud galakkan dan gesaan kepada ulil ahlam dan nuha iaitu yang baligh dan beraqal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak.
Nabi tidak menyatakan لاَ يَلِيْنِي إلاَّ أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى yang bermaksud jangan berada dibelakangku kecuali yang baligh dan beraqal. Sekiranya lafaz hadis datang seperti lafaz ini iaitu tegahan berada dibelakang Nabi kecuali kepada mereka yang dinyatakan maka ketika itu barulah membawa hukum kanak-kanak tidak boleh berada di saf belakang Nabi s.a.w.
Tetapi walaupun demikian para ulama’ bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan beraqal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya terjadi sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan.
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan:

السُّنَّةُ: أَن يَتَقَدَّمَ فِي الصفِّ الأوَّل الفَضْلُ وَالسِّنُّ، وَيَلِي الإمام أكْمَلُهُم وَأفضَلُهم، قال أحمد: يَلِي الإمامُ الشُّيُوخُ وأهلُ القُرْآنِ وَتُؤَخِّرُ الصِبْيَانَ وَالغِلمانَ وَلاَ يَلُونَ الإمَام.
Maksudnya:
Sunnah: mendahului mereka yang baik dan berumur pada saf yang pertama, dan mereka yang berada dibelakang imam yang paling baik dan sempurna dikalangan mereka. Imam Ahmad berkata: yang berada di belakang imam mereka yang lebih tua, dan ahli al-Quran, dan di belakangkan kanak-kanak serta tidak di tempatkan di belakang imam. (Al-Mughni, jilid 2, hlm.429)

Ingin saya ingatkan bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk dibelakang imam tetapi merupakan satu kesalahan juga sebahagian orang awam yang sering melazimi belakang imam sedangkan mereka tidak tahu hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjemaah. Nanti akan menyebabkan mereka tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan apabila terjadi sesuatu kepada imam.

2- Satu lagi dalil yang dijadikan hujah untuk mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa ialah hadis:

كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ يَجْعَلُ الرِّجَال قدَّام الغِلْمَان، والغلمانُ خَلْفَهُم، والنِّسَاءُ خَلْفَ الغِلْمَان
Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. menjadikan saf orang dewasa dihadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak dibelakang mereka semetara saf perempuan di belakang kanak-kanak.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud. Syeikh al-Albani menyatakan:
“Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhoif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)
3- Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut. Hujah ini hujah yang tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan seperti yang dinyatakan Nabi s.a.w. mendukung Umamah cucunya ketika solat.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam al-Syafie dan selainnya.
Mengasingkan kanak-kanak di belakang masjid atau menyisihkan mereka sewaktu berada di masjid akan mengundang perkara negatif seperti:
§  Akan menyebabkan kanak-kanak tidak suka kepada masjid, apabila ini berterusan ia akan melekat di dalam dirinya. Apabila mereka meningkat dewasa mereka akan menjauhkan diri dari institusi masjid.
Mereka akan merasakan masjid bukan tempat untuk kanak-kanak atau orang muda kerana apabila mereka datang ke masjid seolah-olah mereka ini tidak dilayan dan ditempatkan di saf yang paling belakang.
§  Mereka akan merasakan mereka tiada hak untuk duduk di dalam saf, ini kerana apabila hadir awal dan duduk di saf hadapan maka pasti akan ada siak yang menyuruhnya ke belakang sedangkan tempat itu merupakan haknya.
§  Menimbulkan rasa benci kepada orang yang memarahi dan menyuruhnya duduk di belakang. Sehingga sebahagian masjid ada menyediakan pegawai yang memegang rotan untuk mengawal kanak-kanak.
Keburukan apabila mengumpulkan kanak-kanak di satu tempat di belakang masjid sudah pasti mereka akan bermain sesama sendiri dan membuat bising seterusnya mengganggu orang yang berada di dalam masjid. Itu merupakan fitrah kanak-kanak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku adalah lebih baik kanak-kanak itu duduk bersama ayahnya atau penjaganya sewaktu berada di dalam masjid kerana ini menghalang untuk mereka berkumpul dan membuat bising.

4- 
Mendahului kanak-kanak yang mempunyai kelebihan

Kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dikehadapankan daripada orang awam biasa. Sehingga boleh dilantik sebagai imam walaupun belum mencapai usia baligh. Imam Khatib al-Syarbini menyatakan:

وَقِيْل: إنْ كَانَ الصِبْيَانُ أفضَلُ مِن الرِّجَالِ كَأَنْ كَانُوا فِسْقَة وَالصِبْيَانُ صَلْحَاء قَدِّمُوا عَلَيْهِم، قَالَهُ الدَّارِمِي.

Maksudnya:
Dikatakan: sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti merka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)
Persoalan yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh?
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun.
Nabi s.a.w. bersabda:
أنه يَؤُمُّهُم أكثَرُهُم قُرْآناً
Maksudnya:
Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya.
Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan maka mereka dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya kecuali Amr bin salamah al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat kaumnya. Hadis ini dalil kepada sahnya solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh.
Fatwa ini juga dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baz dan Syeikh Muhammad Soleh ibn Utsaimin

-والله تعالى أعلم-

Khamis, 15 September 2016

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga. 
Pengajaran Hadis: 
i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami. 
ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul. 
iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.. 
iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya..
v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Rabu, 14 September 2016

Assalamualaikum sedikit renungan bersama insya Allah.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita2nya dikabulkan oleh Allah. 
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak2, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing2. 
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Setiap yang bernyawa pasti akan mati. (al-Anbia': 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya. 
3. Sebaik2 usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam. 
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia2kan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.