Selasa, 6 Ogos 2019

   Assalamualaikum sedikit renungan bersama insya-allah..

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1873.

Dari Huzaifah bin Yaman r.a. katanya: Orang banyak biasanya menanyakan kepada Rasulullah saw. tentang kebaikan, tetapi saya menanyakan kepada beliau tentang keburukan (bahaya), kerana takut akan ditimpanya. Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami dahulu dalam masa jahiliyah dan keburukan, lalu didatangkan Allah kepada kami kebaikan. Adakah sesudah kebaikan ini akan terjadi keburukan?" Jawab Nabi: "Ya!" Saya bertanya: " Adakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?" Jawab Nabi: "Ya, tetapi ada yang merosaknya." Saya bertanya: "Apakah perosak itu?" Jawab Nabi: "Sekumpulan orang yang memimpin bukan menurut jalan yang benar. Sebahagian tindakan mereka ada yang engkau pandang baik dan ada yang tidak." Saya bertanya: "Apakah sesudah kebaikan itu terjadi lagi keburukan?" Jawab Nabi: "Ya! Orang-orang yang memanggil dipintu neraka. Siapa yang memperkenankan panggilannya, mereka dilemparkannya ke dalam neraka." Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Terangkanlah kepada kami keadaan mereka!" Jawab Nabi: "Kulit mereka sama dengan kulit kita dan mereka berbicara dengan bahasa kita." Saya bertanya: "Apakah yang engkau perintahkan kepada saya, kalau seandainya saya mendapati hal yang demikian?" Jawab Nabi: "Hendaklah engkau tetap dalam jemaah (persatuan) kaum Muslimin dan mengikuti Imam (pemimpin) mereka." Saya bertanya: "Bagaimana kalau mereka tidak mempunyai jemaah (persatuan) dan tidak mempunyai Imam (pemimpin"?" Jawab Nabi: "Jauhilah semua kumpulan biarpun kerana itu engkau sampai menggigit (mengunyah) urat-urat kayu, sehingga engkau meninggal dunia dalam keadaan serupa itu."

Isnin, 5 Ogos 2019

   Assalamualaikum sedikit renungan bersama insya-allah..
Ibnu Abbas menceritakan :Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar. Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan. Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu? Jawab baginda Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.

Sebagai seorang Muslim, aspek kebersihan hendaklah dititik beratkan termasuklah perkara-perkara asas seperti qadha' hajat (buang air kecil atau besar). Islam selaku agama yang sempurna telah menyediakan tata tertib yang sepatutnya untuk diikuti demi menjamin kesihatan umatnya. Demikian juga dengan bersuci di mana tabiat tidak bersuci sesudah kencing oleh sesetengah orang yang dianggap perkara biasa sebenarnya mendatangkan azab yang amat besar di akhirat kelak sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas kerana membuang air tanpa bersuci atau membuang air di tempat-tempat terbuka (di tepi-tepi jalan tanpa bersuci) dilarang oleh Islam kerana ia mencerminkan adab yang kurang sopan selain mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan penyakit.

Dalam keghairahan kita sebagai penulis whatsapp facebook dalam menyebarkan berita, harus kita sedar bahawa semuanya mempunyai had. Apa yang dimaksudkan sebagai mempunyai had? Had di sini adalah untuk memastikan bahawa apa yang kita sampaikan itu adalah perkara yang benar, tanpa ada unsur-unsur fitnah.


Bagaimana pula boleh timbul isu-isu fitnah? Apabila perkara yang kita sebarkan itu belum mempunyai unsur-unsur kepastian yang pasti, dan juga sekiranya ianya melibatkan tuduhan kepada seseorang. Jika sesuatu tuduhan itu tidak benar, bukankah ianya boleh membawa kepada fitnah? Jadi, untuk mengambil langkah selamat, eloklah sekiranya diteliti dahulu kepastian setiap berita tersebut, samada ianya merupakan daripada unsur-unsur yang boleh dipercayai. Sekiranya kita benar-benar yakin dengan berita tersebut, silakan untuk menyebarkannya, itupun sekiranya ianya membawa kebaikan kepada kita.
Wsslm

Sabtu, 23 Februari 2019

     
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya.Riwayat Bukhari dan Muslim

Pengajaran hadis:
i) Islam mementingkan umat yang bersatu padu di mana setiap hubungan yang terjalin mestilah diperkuatkan dengan ikatan kasih-sayang, kepercayaan, belas kasihan dan menjauhi permusuhan kerana seorang muslim yang baik adalah mereka yang sentiasa memikirkan kebaikan orang lain sebagaimana ia memikirkan kebaikan untuk dirinya sendiri.
ii) Tidak sempurna iman seseorang yang didapati tidak mengakui persahabatan, pertalian kerabat dan seumpamanya kecuali apabila ia mendapati terdapat sesuatu faedah atau keuntungan di sebalik perhubungan itu untuk dirinya.
iii) Orang seperti ini adalah mereka yang bersifat sombong dan angkuh, tamak haloba dan suka berdendam. Ia hanya mementingkan diri sendiri serta sanggup melakukan apa sahaja asalkan sesuatu kebaikan itu hanya menjadi miliknya seorang bahkan dendam yang bersarang dalam jiwanya membuatkan ia hilang perasaan kasihan belas, simpati dan timbang rasa terhadap kesusahan orang lain.
iv) Sesungguhnya orang seperti ini akan mendapat laknat daripada Allah S.W.T. Perbuatannya yang menganiayai orang lain lambat laun akan mengundang kebencian masyarakat menjadikan kehidupannya kelak tersisih dan disisihkan.
 
Assalamualaikum sedikit renungan bersama insya Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.Riwayat Muslim

1. Umat Islam hendaklah hidup bersatu padu dan harmoni kerana ini merupakan kunci kekuatan ummah.

2. Sifat benci-membenci dan hasad dengki mesti dihapuskan kerana ia akan membawa kepada perpecahan dan kemunduran sebaliknya kita mestilah saling bantu membantu, mengambil berat dan berkerjasama demi meningkatkan pembangunan ummah.

3. Islam amat menyukai umatnya yang sanggup berkorban untuk saudaranya bahkan ganjaran bagi orang yang berbuat demikian adalah sangat besar di sisi Allah S.W.T.

Selasa, 29 Januari 2019



Daripada Harithah bin Wahab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli syurga? Iaitu orang-orang yang lemah dan dipandang hina (oleh manusia), kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah mengabulkan sumpahnya, tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar perangai atau bersikap kasar, angkuh dan sombong”.  
(Bukhari dan Muslim )

Gambaran sifat-sifat diantara ahli syurga dan ahli neraka dapat dikenali semasa didunia lagi. Umat Islam yang mendapat kemenangan dihari akhirat kebanyakkannya adalah daripada golongan yang lemah dan yang dipandang hina oleh manusia semasa didunia. Tetapi amat sedikit mereka terdiri daripada golongan yang kaya dan hidup mewah. Umat Islam dilarang bersifat kasar, angkuh dan sombong kerana ia adalah antara sifat-sifat yang dicela (mazmumah). Oleh itu bertakwalah kepada Allah dan beribadatlah sebanyak-banyaknya mengikut kemampuan seseorang. Keistimewaan orang-orang yang mempunyai sifat-sifat ahli syurga adalah diakui Allah tentang kebenarannya. Kita dituntut bersifap tawadhu’ dan rendah diri sesama Islam. 

Selasa, 6 November 2018

Abu Huraiarah r.a
      
Nabi s.a.w bersabda: 'Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: 'Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.' 
Pengajaran Hadith: 
i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. 
ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya. 
iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

Khamis, 1 November 2018

     
Dari Abu Hurairah RA, katanya: Bersabda Rasulullah SAW: 'Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah (Palestin) dan 'Adan (Yaman) airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.: Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu?Jawab Rasulullah SAW: Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.Riwayat:  (Muslim)

Allah SWT berfirman yang maksudnya: Pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak (al- Hadid:12).

 Sesungguhnya bekas-bekas basuhan air wudhu' di wajah kita menjadi penyeri kepada wajah. Begitu juga setiap amal soleh yang kita lakukan adalah penyeri kepada akhlak. Semua himpunan cahaya ini adalah lambang keserian iman yang akan menerangi hidup seseorang di dunia dan akhirat. Syurga indah sedia menanti mereka di sana. Maka alangkah ruginya jika kita terkecuali daripada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas. Namun manusia lazimnya selalu leka dalam mengejar nikmat dunia yang sementara di hadapan mata mereka berbanding nikmat akhirat yang indah dan kekal abadi. Sesungguhnya janji Allah SWT tetap benar dan hanya orang yang sabar sahaja akan dapat mengecap nikmat kebahagiaan yang dijanjikannya itu.