Selasa, 5 April 2022

 Assalamualaikum sedikit renungan bersama insyaallah.

Orang Yang Bankrap disisi Islam

Hadis dan huraian

Riwayat:  Muslim

      Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, 'Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?' Para sahabat menjawab, 'Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta'.

Baginda bersabda, 'Ssungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang.

Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka.

Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya)  dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka'.

Islam melarang umatnya membuka rahsia dan tuduh-menuduh antara sesama sendiri jika tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

Islam menjaga kehormatan seseorang daripada melakukan perkara-perkara menyalahi hukum yang boleh membawa kepada permusuhan.

Jagalah lidah dan hati daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat sesama orang Islam kerana akibatnya boleh menyebabkan amalan seseorang itu diambil dan menggantikan dengan kesalahan yang dilakukannya di dunia.

Segala amal kebaikan dan kejahatan akan dapat dilihat dan dirasa balasannya serta ditimbang baik buruknya pada hari kiamat.

Orang Islam adalah bersaudara, maka haramlah atasnya pembunuhan, pencerobohan kehormatan dan mencerobohi hartanya.

Menzalimi dan menyakiti manusia (seagama) akan menghapuskan pahala dan manfaat amalan yang soleh pada hari kiamat, orang yang melakukannya adalah muflis yang sebenar.

Salah satu cara pendidikan yang berkesan adalah dengan menggunakan bentuk dialog dan soal jawab untuk menarik perhatian pendengar. 

Ahad, 3 April 2022

 Assalamualaikum sedikit renungan bersama insyaallah..

Nasihat Untuk Pendakwah

Hadis dan huraian

Riwayat:  (Bukhari & Muslim)

  

(Bukhari & Muslim)   Akidah Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW bersabda Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran.


Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya:Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada-perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)? Maka ia menjawab:Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya.


 1. Dalam usaha membina individu dan mendidik masyarakat, Islam amat mementingkan ketinggian akhlak seperti benar dalam percakapan dan tindakan, penuh rasa tanggungjawab (amanah), menepati janji, toleransi, pemaaf, penyantun dan sebagainya.


2. Seorang pendakwah itu hendaklah mendahulukan contoh perbuatannya daripada ucapannya kerana dakwah melalui perangai atau akhlak yang baik (qudwah hasanah) merupakan media yang paling efektif kepada masyarakat yang akan menjadikannya sebagai contoh (idola) untuk diikuti.


3. Sesungguhnya orang yang pernah menyuruh orang lain berbuat baik sementara dirinya sendiri melanggarnya adalah orang yang bakal menempuh siksaan yang amat berat di hari akhirat kelak.


Keadaanya samalah seperti ˜ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus ˜.


Oleh itu hiasilah diri dengan akhlak yang terpuji, penampilan yang baik, etika pergaulan yang bersopan dan sifat-sifat mulia yang lain supaya tidak tergolong di kalangan orang-orang yang ˜cakap tak serupa bikin'!.