Khamis, 28 November 2019

Assalamualaikum  renungan bersama tentang jumaat
utk peringatan kita semua insya Allah.
   
Nabi s.a.w bersabda: 'Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.'
Riwayat:  Abu Hurairah r.a

Pengajaran hadith:
i) Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatatr kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

ii) Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut.

Rabu, 13 November 2019

Dialog Syurga Dan Neraka

Hadis dan huraian

Riwayat:  Bukhari dan Muslim

Bukhari dan Muslim

Daripada Abu Said al-Khudriy RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Telah bertengkar syurga dan neraka, maka berkatalah neraka, “Untukku orang orang-orang yang kejam dan sombong (yang tidak mempunyai belas kasihan)”. Kemudian berkata pula syurga, “Untukku golongan orang-orang yang lemah dan miskin”. Maka Allah memutuskan diantara kedua-duanya. Sesungguhnya engkau syurga tempat rahmatku, aku memberi rahmat denganmu kepada sesiapa yang aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka tempat siksaan aku menyiksa denganmu sesiapa yang aku kehendaki dan adalah menjadi tanggungjawab untuk memenuhkan kamu berdua (syurga dan neraka)”.


Syurga dan neraka disediakan oleh Allah SWT sebagai tempat yang terakhir untuk pembalasan kepada makhluk mengikut amalan masing-masing. Setiap orang yang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun kebajikan sebesar zarrah. Begitu juga setiap perbuatan yang mungkar itu akan dibalas dengan balasan yang setimpal dengannya. Orang beriman yang lemah dan miskin yang dipandang rendah oleh manusia dijanjikan dengan syurga selagi mereka tetap dengan keimanan dan kepatuhan kepada hukum serta bersabar atas apa yang telah ditentukan Allah bagi mereka, manakala orang yang takbur dan sombong dijanjikan untuk mereka neraka dan azab yang pedih.

Jumaat, 8 November 2019

Hadis dan huraian
Riwayat:  (Muslim)
     
Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: 'Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku'.
Huraian:
1) Merayakan maulid rasul termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW dan sesiapa yang meraikannya diberikan pahala oleh Allah SWT. Begitu juga menyambut hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Maal Hijrah, Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa dan Haji, Nisfu Syaaban dan sebagainya.
2) Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 32 yang maksudnya : '..dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah'
3) Rasulullah SAW adalah merupakan syiar atau tanda kebesaran Allah SWT kerana dengan kelahiran Rasulullah SAW, dunia mengetahui tentang keesaan Allah SWT. Sesungguhnya Allah menyuruh kita mengambil pengajaran di atas peristiwa keputeraan Rasulullah SAW ini kerana ia akan memperkukuhkan keimanan dan kecintaan kita terhadap diri baginda dan meneruskan perjuangannya serta tidak melupakan ajaran dan sunahnya.
4) Mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW seperti dalam majlis maulidurrasul adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah sendiri telah berfirman yang maksudnya 'Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.' (Al-Ahzab:56)
5) Ulama telah sepakat memandang baik amalan menyambut maulidurrasul SAW. Di Malaysia, era 50an hingga 80an sambutan ini dilakukan dengan cara tradisional seperti berzanji, tilawah al-Quran, tahlil dan sebagainya. Namun perkembangan semasa telah mempengaruhi acara sambutan tersebut kepada bentuk baru seperti dengan mengadakan nasyid, forum, ceramah, perarakan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain melainkan untuk memperingati, mengagungkan, dan memuliakan Rasulullah SAW.