Selasa, 6 November 2018

Abu Huraiarah r.a
      
Nabi s.a.w bersabda: 'Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: 'Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.' 
Pengajaran Hadith: 
i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. 
ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya. 
iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

Khamis, 1 November 2018

     
Dari Abu Hurairah RA, katanya: Bersabda Rasulullah SAW: 'Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah (Palestin) dan 'Adan (Yaman) airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.: Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu?Jawab Rasulullah SAW: Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.Riwayat:  (Muslim)

Allah SWT berfirman yang maksudnya: Pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak (al- Hadid:12).

 Sesungguhnya bekas-bekas basuhan air wudhu' di wajah kita menjadi penyeri kepada wajah. Begitu juga setiap amal soleh yang kita lakukan adalah penyeri kepada akhlak. Semua himpunan cahaya ini adalah lambang keserian iman yang akan menerangi hidup seseorang di dunia dan akhirat. Syurga indah sedia menanti mereka di sana. Maka alangkah ruginya jika kita terkecuali daripada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas. Namun manusia lazimnya selalu leka dalam mengejar nikmat dunia yang sementara di hadapan mata mereka berbanding nikmat akhirat yang indah dan kekal abadi. Sesungguhnya janji Allah SWT tetap benar dan hanya orang yang sabar sahaja akan dapat mengecap nikmat kebahagiaan yang dijanjikannya itu.