Isnin, 29 Oktober 2018




 30 JUZUK Download AL.QURAN MP3 TERJEMAHAN MELAYU INSYA ALLAH

Sebarkan MP3 ini! Sabda Rasululllah S.A.W.
“Barang siapa yang menunjuk satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang melakukan (kebaikan) itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Klik surah pilihan untuk Download.

Sabtu, 27 Oktober 2018

     
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.Riwayat Ibnu Abi Dunya

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Khamis, 25 Oktober 2018

Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

1. Hari Paling Mulia
Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini.
 
Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam as) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim)
2. Hari Bagi Kaum Muslimin
Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Muhammad SAW dalam masjid untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengar dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”(Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)
3. Penghulu Segala Hari
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding dengan hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
.
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir R.A berkata, Rasululullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)
4. Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaatnya untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
5.Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi
Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan mereka terdapat  tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat Jumaat.
Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke arasy untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata:“Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
6. Hari Dihapuskan Dosa
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
7.
 Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’
Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.
Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).
13. Hari Terselamat Dari Seksa Kubur
Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
8.
Hari Berlakunya Kiamat
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Kiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut bahawa:“Pada hari Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari kiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”
Sabda Rasulullah SAW.: “Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Selasa, 23 Oktober 2018

Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Raulullah SAW bersabda:Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.riwayat muslim.

1. Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Mekah. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam manakala yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang baginda.

2. ABU TALIB merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak memeluk agama Islam.

3. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu Talib mengucapkan 'laailaah illallaah', namun Abu Jahal dan Abdullah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib. Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak dalam keadaan beriman, lalu Rasulullah bersabda 'Demi Allah aku akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang, lalu turunlah ayat surah Taubah:113-114 yangmaksudnya 'Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

4. Mendo'akan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik, doa baginda:'Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui' dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah. Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

Sabtu, 20 Oktober 2018

     
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya. Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi.

1. Sesungguhnya bala Allah S.W.T akan menimpa hamba-hambanya yang bersekongkol dalam melakukan maksiat dan kemungkaran.
2. Selaku umat Islam kita hendaklah sentiasa berwaspada daripada melibatkan diri dengan perbuatan-perbuatan yang salah sama ada di sisi agama mahupun undang-undang kerana semuanya ini akan memberikan imej yang tidak baik terhadap Islam di samping menunjukkan contoh yang buruk kepada yang bukan Islam.
3. Adalah menjadi kewajipan untuk kita menegur sebarang perkara yang buruk sebelum ianya berlarutan menjadi satu budaya dalam masyarakat seperti maksiat, penindasan dan sebagainya kerana dibimbangi jika dibiarkan suatu masa kelak bala Allah akan menimpa yang akan mengenai seluruh makhluk di sekitarnya.

Khamis, 11 Oktober 2018

LARANGAN MENYOKONG KEZALIMAN Maksudnya : Sesungguhnya selepasku ini akan adanya pera pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolongan kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangkan telaga di syurga. (Kata al-Haitami: Hadith ini diriwayatkan oleh oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Ausod . Para perawi salah satu sanad al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari) KETERANGAN Dengan wahyu Allah, Allah telah mengkhabarkan kepada NabiNya tentang keadaan-keadaan yang bakal berlaku selepas ketiadaan baginda. Antaranya, akan wujudnya para pemimpin yang zalim dan penipu. Sesiapa yang menyokong mereka maka Nabi s.a.w. tidak mengakuinya sebagai pengikut baginda dan tidak akan membenarkan mereka meminum air telaga di syurga, dalam kata lain tidak memasuki syurga melainkan diazab di atas jenayah sokongan mereka kepada para pemimpin jenis tersebut. Sesiapa yang tidak menyokong dan menolong para pemimpin yang zalim dan pembohong maka dia adalah pengikut Nabi dan akan memasuki syurga. Mukmin yang sebenar akan bimbang dan merasa takut dengan amaran ini. Tidak mengapa seseorang dipecat dari menjadi ahli sesuatu pertubuhan, tetapi yang yang sangat bahaya dan menakutkan apabila kita dipecat dari menjadi pengikut Nabi s.a.w. Di manakah golongan ini akan berhimpun di akhirat jika Nabi s.a.w. tidak menerima mereka sebagai pengikutnya? Sesungguhnya asas utama kezaliman pemerintahan yang wujud sekarang adalah kerana tidak melaksanakan syariat Allah. Firman dalam Surah al-Maidah ayat 45: Maksudnya : Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang zalim. Dengan kezaliman yang asas ini para pewaris Fir`aun menambahkan lagi kezaliman demi kezaliman. Membolot harta rakyat dan menzalimi setiap yang bangun menasihatinya. Larangan Menyokong Puak Yang Mungkar Firman Allah dalam Surah al-`An`am, ayat 68 : Maksudnya : Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Kata al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi: “Ayat ini adalah dalil bahawa tidak dihalalkan duduk bersama ahli mungkar”( Ahkam al-Quran, jld. 2, m.s. 260, cetakan Dar al-Fikr) Duduk bersama golongan munkar tidak dibenarkan apatah lagi menyokong, membantu dan menolongnya. Firman Allah dalam Surah an-Nisa` ayat 140: Maksudnya:Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: “Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka.” Katanya lagi: “Firman Allah إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini (Tafsir Ayat al-Ahkam, jld. 5, 418, Dar al-Fikr, Beirut) Sesiapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang melakukan kejahatan dan kezaliman serta mempermainkan ayat-ayat Allah, maka sesungguh dia sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut. Mungkin dia berkata, saya tidak menzalimi orang lain, atau mempersendakan agama tetapi sekadar menjadi ahli biasa parti sahaja, sedangkan pemimpinnya zalim dan jahat maka dia turut menanggung dosa. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 66-67- Maksudnya : Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Demikianlah halnya ahli neraka yang dahulu menjadi pengikut setia para pemimpin yang melanggari ajaran Allah dan RasulNya. Mereka yang taat dan terus setia sehingga akhirnya mereka dihumbankan ke dalam neraka. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113: Maksudnya:Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
       Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya.Riwayat Anas i) Arak yang juga disebut khamar dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.  ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.  iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.  iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.  v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat.
  Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum khamar di dunia lalu dia meninggal dunia sedangkan dia telah terbiasa dan belum bertaubat maka dia tidak dapat meminumnya di akhirat nanti. Hukum arak adalah jelas di dalam al-Qur'an, hadith dan ijma' ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum. Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak, walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak. Oleh itu umat Islam mestilah berhati-hati dan peka serta bersikap tegas dengan perkara-perkara yang berhubungkait dengan halal haram dalam agama, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan dan minuman kerana ia akan menjadi darah daging dan mempengaruhi pembentukan jiwa seseorang individu muslim itu sendiri. Berkenaan arak di syurga pula, al-Quran ada menyebutkan tentang sifat-sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa seperti adanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, yang terdiri dari air susu, arak dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Di samping itu disediakan pula segala jenis buah-buahan di mana orang-orang yang tinggal kekal di dalamnya akan diberi makanan dan minuman yang sedap dan lazat yang belum pernah dirasa atau dimakan ketika hidup di dunia.